Written by MUHAMMAD ‘IZZUL ‘AMMAR ABD LATIF

“Bangsa Melayu ialah bangsa yang mundur pada masa dahulu. Mereka tiada peradaban serta ketamadunan yang jelas melainkan hanya bergantung kepada tamadun di sekelilingnya sahaja.” Inilah kata-kata dan tanggapan orang masa kini mengenai bangsa Melayu. Masyarakat sering menyangka bahawa Melayu ialah bangsa yang tiada tamadun pada zaman dahulu. Malangnya, sehingga kini, ramai masyarakat Melayu tidak berasa bangga menjadi orang Melayu. Pernah diceritakan oleh Prof Dr Abdul Mua’ti berkenaan rungutan sebahagian orang Melayu pada era sebelum merdeka, sekiranya mereka dapat dihidupkan semula ke dunia, maka mereka hendak dihidupkan semula sebagai orang Inggeris. Begitu malunya sebahagian orang terdahulu untuk menjadi orang Melayu. Natijahnya, perasaan malu ini hidup bercambah serta mekar dalam naluri bangsa Melayu sehingga kini. Persoalan yang timbul, adakah benar bangsa Melayu ini ialah bangsa yang mundur dalam lipatan catatan sejarah?

Umum mengetahui bahawa bangsa Melayu bukanlah bangsa yang hidup di Malaysia sahaja. Menurut Prof. Madya Dr. Zafarina Zainuddin, bangsa Melayu telah wujud di sebuah kepulauan yang terletak di antara Lautan India dan Lautan Pasifik yang mengunjur sejauh 4000 batu dari timur ke barat dan 1300 batu dari utara ke selatan. Secara tidak langsung, bangsa Melayu telah wujud di atas sebuah kepulauan paling besar di dunia. Oleh itu, adakah logik sebuah bangsa yang mempunyai penguasaan luas di dunia ini tidak mempunyai tamadun dan peradaban?

Umum mengetahui bahawa bangsa Melayu bukanlah bangsa yang hidup di darat sahaja, malah hidup di dan menguasai lautan juga. Menurut Prof Dr Abdul Mu’ati, bangsa Melayu ialah satu-satunya bangsa yang menggunakan frasa tanah air sebagai rujukan kepada negara asal. Jika dirujuk kepada frasa yang digunakan oleh barat, mereka menggunakan ‘motherland’. Di negara Arab, mereka menggunakan ‘watan’ yang secara literalnya bermaksud tanah. Tiada unsur air dalam rujukan mereka. Inilah antara falsafah yang diaplikasikan oleh bangsa Melayu terdahulu yang menggabungkan dua unsur iaitu tanah dan air yang menunjukkan secara tidak langsung bahawa bangsa Melayu menetap bukan sahaja di darat, malah di air juga. Oleh itu, bangsa Melayu merupakan sebuah bangsa yang agung yang menguasai pelbagai bidang. Contohnya ilmu pelayaran, kemahiran kendiri, teknologi binaan rumah dan kapal, ketinggian sastera dan sebgainya. Antara perkara yang ramai tidak mengetahui tentang bangsa Melayu ialah mengenai ilmu pelayaran orang Melayu yang sangat menakjubkan.

Kita sering dimomokkan bahawa orang pertama yang mengelilingi dunia ialah Ferdinand Magellan. Malah fakta ini telah tersemat di dalam silibus subjek Sejarah di Malaysia. Ini merupakan suatu fakta yang salah yang didokongi oleh barat untuk menutup kehebatan orang Melayu. Mengikut catatan sejarah oleh seorang pengembara lautan Itali, Antonio Pigafetta, orang pertama yang mengelilingi dunia ialah seorang Melayu dari Melaka. Beliau juga disebut sebagai Henry the Black atau Panglima Awang. Prof Dr Abdul Mua’ti berhujah bahawa Ferdinand Magellan bukan orang pertama yang mengelilingi dunia kerana beliau mati di Pulau Sibu, Filipina akibat rusuhan. Beliau tidak sempat menghabiskan perjalanan dari Portugal hingga sekeliling dunia. Dalam catatan Antonio, Panglima Awang merupakan pembantu kepada Ferdinand Magellan. Beliau sangat pakar dalam ilmu pelayaran dan navigasi laut. Diceritakan pada suatu ketika, pelayaran Ferdinand dipukul ombak dan kapal tersebut berpusing sehingga pengemudi kapal hilang arah dan tidak mengetahui arah sebenar perjalanan kapal. Maka, Panglima Awang muncul dan memberi arahah mengikut arah dan kedudukan bintang. Selepas kematian Ferdinand Magellan, Panglima Awang mengambil alih kapal dan berjaya menghabiskan misi mengelilingi dunia. Pelayar-pelayar Melayu mampu membaca kedudukan bintang, menggunakan angin, melihat pergerakan burung, ombak dan pusaran air laut, untuk menentukan kedudukan darat dari laut. Orang Melayu tidak perlu menggunakan kompas atau GPS untuk berlayar. Kehebatan ini jauh lebih awal daripada pelayar-pelayar barat yang hanya megah dan popular di atas kesirnaan fakta.

Berdasarkan kajian Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli, jalur pelayaran orang Melayu meliputi kawasan timur persisiran Afrika Selatan. Disebabkan ilmu pelayaran orang Melayu yang sangat tinggi, mereka telah merantau serata dunia dan mengikut sejarah, bangsa Melayu ada yang menetap di Madagaskar. Sekiranya dianalisis semula, bahasa Madagaskar kini, iaitu Bahasa Malagasi, sangat hampir dengan bahasa Malayo-Polinesia. Bahasa ini banyak digunakan terutama di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Mengikut catatan Yunani, kapal-kapal orang Melayu mampu menampung muatan sehingga 1000 tan dan telah berlayar sehingga ke India pada dua masihi. Oleh itu, jelaslah bahwa orang Melayu ini sangat mahir dalam ilmu pelayaran.

Kesimpulannya, bangsa Melayu bukanlah bangsa kuno yang tidak bertamadun. Tamadun Melayu telah wujud dan menjadi rujukan dunia. Keagungan bangsa Melayu telah diiktiraf dunia dan terdapat banyak kajian barat mengenai bangsa Melayu. Keilmuan bangsa Melayu mencakupi semua bidang. Fakta mengenai bangsa Melayu hidup dalam karya-karya barat tetapi mati di dalam jiwa bangsa Melayu. Natijahnya, kita berasa malu dan tidak bangga menjadi bangsa Melayu. Persoalan kini bukan lagi mengenai tamadun Melayu sama ada tamadun ini maju atau tidak, tetapi persoalan kini ialah sama ada kita ingin menjulang keagungan tamadun Melayu atau hanya menyimpan di dalam lipatan sejarah yang bakal ditelan zaman.