oleh HAKIM QUE

 

Tidak diragukan lagi bahawa syariat yang dibawa oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w adalah syariat yang bersifat syumul meliputi seluruh aspek kehidupan dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara. Syariat Nabi wajib diikuti dan ditaati hukum-hukamnya oleh seluruh umat Islam kerana Allah telah mengutus baginda sebagai Rasul bagi segenap manusia.

Hukum-hukum syariat memiliki keunggulan dan bersifat universal lagi adil jika dibandingkan dengan undang-undang yang diciptakan oleh manusia sendiri kerana hukum-hukum syariat ini telah diturunkan oleh Allah yang Maha Mengetahui akan segala sesuatu termasuklah sebaik-baik ciptaanNya iaitu manusia.

Allah tidak mewajibkan hukum-hukum ini melainkan hanya agar manusia dapat hidup dengan harmoni dan aman di dunia yang sementara ini dalam beribadah kepadaNya dan meneruskan perjalanan ke tempat kembali yang hakiki iaitu hari Akhirat.

Allah telah merakamkan firmanNya dalam surah Al-Israa’ ayat 9 yang bermaksud, “Sesungguhnya Al-Qur’an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.”

PENGHARAMAN DARAH

Allah s.w.t berfirman:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang (yang ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Baqarah (2): 173)

Ramai yang kurang mengambil berat dalam pentingnya pengharaman darah ini, sehinggalah saat ini setelah mencapai kemodenan yang lebih luas dalam ilmu berkaitan kesihatan di mana pelbagai uji kaji makmal yang dilakukan untuk menganalisis kandungan darah. Uji makmal menunjukkan bahawa darah mengandungi sejumlah besar asam polik; zat beracun yang membahayakan kesihatan jika digunakan sebagai makanan. Di sinilah terungkap antara rahsia di sebalik mekanisma penyembelihan secara islam seperti yang diajarkan oleh Allah kepada kita, yang menitikberatkan pada pemutusan pembuluh darah utama pada leher agar darah boleh keluar sebanyak mungkin sehingga daging pun menjadi lebih aman dari pelbagai bentuk penyakit dan bahaya. Wallahu a’lam.

PENGHARAMAN DAGING KHINZIR

Allah s.w.t berfirman:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ…

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi…” (Al-Baqarah (2): 173)

Dalam pengharaman daging khinzir ini juga tersirat hikmah terhadap kesihatan hidup manusia. Sebagai buktinya, ilmu pengetahuan moden berjaya menemui adanya serangga-serangga busuk, bakteria-bakteria, dan kotoran-kotoran yang melekat pada khinzir yang hanya boleh mati jika dididihkan dalam suhu panas yang tinggi. Dari pelbagai penelitian ilmiah dan perubatan membuktikan bahawa jika dibandingkan dengan haiwan-haiwan yang lain, khinzir atau babi tergolong paling pantas membawa virus dan bakteria yang membahayakan tubuh manusia. Antara penyakit-penyakit yang boleh ditimbulkan oleh pemakanan daging khinzir ini ialah

  1. Penyakit-penyakit parasit; misalnya penyakit yang ditimbulkan oleh “cacing spiral” yang merupakan jenis cacing yang paling berbahaya bagi manusia, dan semua jenis khinzir boleh dipastikan mengandungi cacing jenis ini. Cacing ini bersarang dalam diafrakma (rongga badan antara dada dan perut) dan berkembang biak di sana, sehingga menyebabkan terhambatnya pernafasan hingga kematian. Ada lagi penyakit parasit yang ditimbulkan oleh “cacing pita” yang panjangnya boleh mencapai sepuluh kaki. Cacing ini menyebabkan gangguan pencernaan dan kekurangan darah (anemia), belum lagi ditambah dengan bahaya besar yang ditimbulkan oleh adanya cacing pita ini di bahagian otak pemakan daging khinzir ini, hati, paru-paru dan jaringan saraf tulang belakangnya.

Para doktor menegaskan bahawa penyakit cacing pita ini termasuk kategori penyakit berbahaya yang disebabkan oleh pemakanan daging khinzir. Cacing-cacing ini berkembang biak di dalam usus-usus kecil manusia sebelum berpindah ke usus besar untuk menjadi cacing dewasa. Tubuh cacing pita ini terdiri dari sekitar seribu ruas dan panjangnya mencapai empat sampai sepuluh meter. Ia terus hidup sendiri dalam usus si penderita dan mengeluarkan telurnya bersama kotoran manusia.

(2) Penyakit-penyakit bakteria; misalnya TBC, cholera tifus, baratifodea, demam maltik, dan sebagainya.

(3) Penyakit-penyakit mikrob, misalnya jangkitan otak, jangkitan saraf jantung, influenza, jangkitan mulut, dan sebagainya.

(4) Penyakit-penyakit kuman; misalnya kuman toksoplasmagondi yang menyebabkan demam, lemah fizikal, pembesaran hati dan limpa, jangkitan paru-paru, jangkitan urat jantung, dan jangkitan selaput otak, di samping hilangnya fungsi pendengaran dan penglihatan.

(5) Penyakit-penyakit yang ditimbulkan oleh kandungan organ badan daging dan lemak khinzir atau babi; misalnya meningkatnya kadar asam polik dalam darah, sebab zat asam yang dikeluarkan khinzir hanya 2 % sedangkan sisanya masih tersimpan dan menjadi bahagian yang tidak terpisah di dalam daging khinzir. oleh kerana itu, orang-orang yang memakan daging khinzir merasakan sakit di seluruh sendinya. Di samping itu, kandungan lemak yang ada dalam daging khinzir berbeza dengan kandungan lemak ada pada haiwan-haiwan lain. Dengan demikian, orang yang memakan daging khinzir merasakan adanya pengendapan kandungan lemak dalam tubuh dan peningkatan kadar kolestrol di dalam darah mereka, yang mengheret mereka pada risiko besar terkena penyakit pengerasan urat nadi, penyakit jantung, dan angina pectoris yang menyebabkan kematian mengejut.

Semua jenis makanan yang diharamkan Allah selalu bersifat kotor (atau khabits dalam bahasa Al-Quran) dan semua yang kotor mencakupi semua objek yang dapat merosak kehidupan, kesihatan, harta, dan moral manusia.

Islam tidak dapat menerima pendapat orang masa kini yang mendakwa bahawa pemeliharaan khinzir yang baik dengan menggunakan pelbagai kaedah pengawasan ketat di tempat pengembalaan dan kandang yang disterilkan dan dibersihkan dapat menjamin pemusnahan cacing-cacing berbahaya ini.

Syariat telah menetapkan pengharaman daging khinzir ini secara umum, sehingga tidak perlu mencari alasan-alasan lain untuk menggoyahkan teks tersebut. Bahkan, mungkin masih banyak lagi bahaya-bahaya lain yang ada pada daging khinzir bagi manusia yang sampai saat ini belum terungkap, seiring dengan perkembangan ilmu pengetahuan.

HUKUM POTONG TANGAN BAGI PENCURI

Allah s.w.t berfirman:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan dari apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Ma’idah (5): 38)

Hukuman potong tangan bagi pencuri merupakan hukuman pengajaran yang paling besar. Jika kita kaji hukum-hukum konvensional yang menjadikan mekanisma penjara sebagai hukuman bagi pencuri, dapat kita lihat bahawa penjara memakan dana yang begitu besar. Setiap tahun satu orang penjenayah di Amerika Syarikat menghabiskan jumlah anggaran 30 ribu US Dollar untuk membiayai hidup selama berada di penjara, sehingga pemerintah pun mengambil langkah untuk membebaskan mereka dengan sejumlah bayaran.

Jika pandangan dunia saat ini menceritakan hukuman potong tangan sebagai hukuman yang kejam serta bertentangan dengan Hak Asasi Manusia, maka kita perlu menyuarakan dengan lantang bahawa sepanjang tempoh waktu 400 tahun pertama Islam menjalankan hukuman Allah ini iaitu pemotongan tangan ke atas pencuri hanya terjadi 6 kali sahaja. Cuba kita perhatikan betapa bijaknya hukum Allah ini dan betapa efektifnya dalam mendidik dan mendisiplinkan pelaku atau pencuri?

PENGHARAMAN RIBA

Setelah Allah memberikan amaran keras terhadap amalan riba sekali gus perintah tegas untuk menjauhinya, Allah s.w.t berfirman:

فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ

“Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.” (Al-Baqarah (2): 279)

Peringatan ini menunjukkan betapa bahayanya riba terhadap kehidupan manusia. Para pakar ekonomi Amerika Syarikat menegaskan bahawa selama tempoh waktu 30-50 tahun perputaran wang akan terkumpul di tangan 50 keluarga Amerika, sementara bakinya tidak memiliki kekayaan apa-apa. Hal itu disebabkan sistem bunga membatasi pusingan kekayaan di tangan kelompok minoriti.

Jadi, sebagai kesimpulan, marilah kita cuba fahami dan mentadabbur ayat-ayat suci Al-Quran agar kita mudah beroleh rahmat dan hidayahNya dalam meniti kehidupan di dunia yang sementara ini menuju kehidupan yang kekal abadi di akhirat sana.

Segala yang Allah ciptakan dan tentukan terkandung rahsia dan hikmah yang tidak akan pernah mampu manusia mencapainya dengan keterbatasan akalnya, namun Allah memudahkan bagi manusia dengan panduan Al-Quran dan sunnah RasulNya untuk diikuti dan ditaati. Semoga kita semua sentiasa di dalam rahmat Ilahi dan beroleh kesejahteraan di dunia dan akhirat kelak. Amin. Wallahu’alam.